Saturday, April 11, 2009

DI SEBALIK HASRAT IRAN BANTU AFGHANISTAN

Oleh Nahar Azmi Mahmud

KESANGGUPAN Iran untuk bekerjasama sepenuhnya dalam usaha membangun semula jirannya, Afghanistan, telah menarik perhatian dunia minggu lalu.

Penyertaan Iran dalam sidang antarabangsa di The Hague, kota negara Belanda itu, menjadi tumpuan jagat kerana beberapa sebab.

Pertama-tama, Iran berkongsi sempadan yang luas dengan Afghanistan.

Kedua, sidang itu tampaknya digunakan oleh para wakil Iran dan Washington untuk bertemu muka dan berkenal-kenalan.

Jangkaan para wakil itu tampaknya tepat kerana dalam sidang itu Encik Richard Holbrooke, Duta Khas Amerika mengenai Afghanistan dan Pakistan, serta Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Mehdi Akhondzadeh, telah sempat bertemu untuk mengadakan perbincangan yang singkat.

Sidang antarabangsa itu dihadiri perwakilan daripada lebih 80 negara dan badan antarabangsa. Ia diadakan sebagai sebahagian daripada pengiktirafan dan usaha bersama bagi meningkatkan kemajuan dan memantapkan kedudukan Afghanistan yang kini dilanda ancaman militan Taleban dan Al-Qaeda.

Para pemerhati antarabangsa berkata, ini suatu tanda positif tentang usaha pentadbiran Obama untuk berbaik-baik semula dengan Iran dan menukar dasar luar negara itu.

Namun begitu mereka berpendapat bahawa lebih banyak usaha perlu dijalankan oleh Amerika untuk meyakinkan Iran. Mentelah ketika berkunjung ke Prague, ibu kota Republik Czech, baru-baru ini, Presiden Barack Obama berkata pertahanan nuklear di Eropah penting sebagai pertahanan menghadapi nuklear Iran.

Tidak hairanlah, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, yang mengetuai pewakilan Amerika dalam sidang itu mengatakan bahawa rundingan itu tidak membincangkan sesuatu isu antarabangsa yang penting. Dengan sendirinya beliau tidak menggalakkan sebarang jangkaan besar tentang pertemuan itu.

Menurut beliau, pertemuan itu merupakan pertukaran pendapat antara dua orang pemimpin negara yang baru berkenalan. Namun begitu yang lebih penting kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk berhubung terus.

Cik Clinton telah memuji ucapan Encik Akhondzadeh dalam sidang itu. Katanya, ini adalah satu tanda nyata bagaimana Iran mahu membantu Amerika dan negara-negara lain bagi menjamin masa depan yang baik untuk Afghanistan.

Para pakar berpendapat bahawa kehadiran Iran dalam sidang itu lebih didorong oleh rasa bimbang negara itu tentang perniagaan dan penyeludupan candu, eksport utama Afghanistan. Pemerintah Iran bimbang meningkatnya kes kecanduan yang kian parah dalam kalangan rakyatnya sendiri.

Mentelah di sebalik sekatan ekonomi dan senjata Barat, Iran ingin membuktikan ia mampu berdikari dan tidak boleh dipariahkan (disisihkan) begitu saja di pentas antarabangsa.

Dalam ucapannya, pemimpin Iran itu menegaskan bahawa negaranya bersedia untuk mengambil bahagian dan menjayakan rancangan untuk meningkatkan dan membangun semula negara jirannya, Afghanistan. Langkah ini katanya bukan saja baik bagi negara itu sendiri bahkan untuk kebaikan seluruh rantau berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengatakan bahawa perbezaan dalam dasar-dasar negaranya dengan Amerika Syarikat mengenai Afghanistan masih kekal. Negaranya masih bimbang dengan gerakan dan operasi tentera pimpinan Amerika di Afghanistan.

Dalam ucapannya itu, beliau menegaskan bahawa langkah menghantar lebih ramai askar asing ke Afghanistan tidak akan memberi sebarang kesan kepada kestabilan negara itu. Malah kehadiran tentera asing di Afghanistan hanya memburukkan lagi keadaan.

Iran (seluas 1.6 juta km persegi dengan 61 juta penduduk) berkongsi sempadan sejauh 936 km dengan Afghanistan (seluas 647,500 km persegi dengan 26 juta penduduk). Empayar Iran (dulu Parsi) pernah meliputi Afghanistan dan begitu juga sebaliknya. Bahkan agama awal Parsi iaitu Majusi (Zoroastrian) berasal dari kawasan Balk di Afghanistan ketika di bawah empayar Parsi.

Afghanistan diduduki tentera asing sejak zaman penjajah British di India. Namun sejarah mutakhirnya ialah ketika tentera Soviet Union mendudukinya pada 1978 dan berakhir selama 10 tahun. Ketika ini, muncul gerakan Mujahidin yang berjaya menebus kembali watannya.

Malangnya Mujahidin berpecah sehingga muncul Taleban pada awal 1990-an yang dapat menyatukan negara itu. Namun Taleban dikutuk dunia kerana pemerintahan yang tegar dan membela Al-Qaeda. Menerusi bantuan Pakistan, Amerika telah dapat mengusir Taleban dan turut membangunkan pemerintahan Presiden Hamid Karzai.

Malangnya Afghanistan kini berpecah-belah dengan Taleban kian kembali bertaring dan turut menggalakkan penanaman candu (yang dulu diharamkannya).

Pada sidang di Hague itu, Cik Clinton menjelaskan keputusan Pentadbiran Obama mengerahkan 17,000 orang askar tambahan dan 4,000 orang jurulatih tentera untuk membangun satu pasukan tentera Afghan yang lebih kukuh.

Malah sidang itu juga dianggap sebagai satu peluang bagi Amerika dan sekutu-sekutunya dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk menekankan kepada negara-negara jiran seperti Pakistan, Iran dan Russia peri pentingnya kerjasama itu kepada rantau tersebut.

Amerika bermusuh dengan Iran sejak penggulingan Shah Iran ketika Revolusi Republik Islam Iran pada 1979. Para pemberontak, termasuk ketua pelajar Mahmoud Ahmadinejad (kini presiden Iran), telah menangkap sejumlah tebusan di Kedutaan Amerika.

Kini permusuhan dua negara dicetuskan pula oleh hasrat Iran membina kelengkapan tenaga nuklear yang didakwanya untuk tujuan menjana elektrik tetapi dituduh oleh Amerika dan sekutu utamanya di Timur Tengah, Israel, sebagai langkah menghasilkan senjata.

Walaupun Presiden Obama berjanji akan mengutamakan dasar dialog atau diplomasi daripada ketenteraan seperti pendahulunya, bukan mudah bagi dua itu negara berdialog.

Cik Clinton memberitahu para wartawan dalam sidang itu bahawa tiada sebarang rancangan untuk mengadakan perrtemuan empat mata dengan pemimpin Iran itu dalam sidang ini.

Pada masa yang sama para diplomat Barat masih bertanya-tanya berapa lamakah Washington akan meneruskan tekanan ekonominya ke atas Iran?

Sekatan ekonomi Amerika dan kekejaman Israel ke atas Palestin merupakan dua perkara yang dibantah keras oleh Iran, kata pemimpin agamanya, Ayatollah Ali Khamenei. Jika dialog ini diadakan, dua perkara ini terlebih dulu hendaklah diatasi. Mentelah banyak aset Iran, sejak zaman Shah Iran, masih dibekukan di Amerika.

Namun para pengamat yakin Iran bersikap pragmatik dalam membezakan masalahnya dengan Amerika dengan kepentingan Afghanistan. Ramai penduduk Afghan menjadi pendatang asing dan bekerja sebagai buruh murah di Iran. Mentelah 19 peratus warga Afghan merupakan penganut Syiah. Sebagai negara majoriti Syiah, Iran perlu melayani dengan baik penganut semazhab.

Oleh itu, bukan mudah untuk Amerika menangani agendanya dengan Iran yang merupakan pemain penting di Timur Tengah dan tentulah Afghanistan.

Selagi beban sejarah tidak diatasi, kedua-dua negara akan terus curiga-mencurigai.

http://cyberita.asia1.com.sg/komentar/story/0,3617,139240,00.html

No comments:

Post a Comment