Showing posts with label Memerangi Taleban. Show all posts
Showing posts with label Memerangi Taleban. Show all posts

Saturday, April 11, 2009

DI SEBALIK HASRAT IRAN BANTU AFGHANISTAN

Oleh Nahar Azmi Mahmud

KESANGGUPAN Iran untuk bekerjasama sepenuhnya dalam usaha membangun semula jirannya, Afghanistan, telah menarik perhatian dunia minggu lalu.

Penyertaan Iran dalam sidang antarabangsa di The Hague, kota negara Belanda itu, menjadi tumpuan jagat kerana beberapa sebab.

Pertama-tama, Iran berkongsi sempadan yang luas dengan Afghanistan.

Kedua, sidang itu tampaknya digunakan oleh para wakil Iran dan Washington untuk bertemu muka dan berkenal-kenalan.

Jangkaan para wakil itu tampaknya tepat kerana dalam sidang itu Encik Richard Holbrooke, Duta Khas Amerika mengenai Afghanistan dan Pakistan, serta Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Mehdi Akhondzadeh, telah sempat bertemu untuk mengadakan perbincangan yang singkat.

Sidang antarabangsa itu dihadiri perwakilan daripada lebih 80 negara dan badan antarabangsa. Ia diadakan sebagai sebahagian daripada pengiktirafan dan usaha bersama bagi meningkatkan kemajuan dan memantapkan kedudukan Afghanistan yang kini dilanda ancaman militan Taleban dan Al-Qaeda.

Para pemerhati antarabangsa berkata, ini suatu tanda positif tentang usaha pentadbiran Obama untuk berbaik-baik semula dengan Iran dan menukar dasar luar negara itu.

Namun begitu mereka berpendapat bahawa lebih banyak usaha perlu dijalankan oleh Amerika untuk meyakinkan Iran. Mentelah ketika berkunjung ke Prague, ibu kota Republik Czech, baru-baru ini, Presiden Barack Obama berkata pertahanan nuklear di Eropah penting sebagai pertahanan menghadapi nuklear Iran.

Tidak hairanlah, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, yang mengetuai pewakilan Amerika dalam sidang itu mengatakan bahawa rundingan itu tidak membincangkan sesuatu isu antarabangsa yang penting. Dengan sendirinya beliau tidak menggalakkan sebarang jangkaan besar tentang pertemuan itu.

Menurut beliau, pertemuan itu merupakan pertukaran pendapat antara dua orang pemimpin negara yang baru berkenalan. Namun begitu yang lebih penting kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk berhubung terus.

Cik Clinton telah memuji ucapan Encik Akhondzadeh dalam sidang itu. Katanya, ini adalah satu tanda nyata bagaimana Iran mahu membantu Amerika dan negara-negara lain bagi menjamin masa depan yang baik untuk Afghanistan.

Para pakar berpendapat bahawa kehadiran Iran dalam sidang itu lebih didorong oleh rasa bimbang negara itu tentang perniagaan dan penyeludupan candu, eksport utama Afghanistan. Pemerintah Iran bimbang meningkatnya kes kecanduan yang kian parah dalam kalangan rakyatnya sendiri.

Mentelah di sebalik sekatan ekonomi dan senjata Barat, Iran ingin membuktikan ia mampu berdikari dan tidak boleh dipariahkan (disisihkan) begitu saja di pentas antarabangsa.

Dalam ucapannya, pemimpin Iran itu menegaskan bahawa negaranya bersedia untuk mengambil bahagian dan menjayakan rancangan untuk meningkatkan dan membangun semula negara jirannya, Afghanistan. Langkah ini katanya bukan saja baik bagi negara itu sendiri bahkan untuk kebaikan seluruh rantau berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengatakan bahawa perbezaan dalam dasar-dasar negaranya dengan Amerika Syarikat mengenai Afghanistan masih kekal. Negaranya masih bimbang dengan gerakan dan operasi tentera pimpinan Amerika di Afghanistan.

Dalam ucapannya itu, beliau menegaskan bahawa langkah menghantar lebih ramai askar asing ke Afghanistan tidak akan memberi sebarang kesan kepada kestabilan negara itu. Malah kehadiran tentera asing di Afghanistan hanya memburukkan lagi keadaan.

Iran (seluas 1.6 juta km persegi dengan 61 juta penduduk) berkongsi sempadan sejauh 936 km dengan Afghanistan (seluas 647,500 km persegi dengan 26 juta penduduk). Empayar Iran (dulu Parsi) pernah meliputi Afghanistan dan begitu juga sebaliknya. Bahkan agama awal Parsi iaitu Majusi (Zoroastrian) berasal dari kawasan Balk di Afghanistan ketika di bawah empayar Parsi.

Afghanistan diduduki tentera asing sejak zaman penjajah British di India. Namun sejarah mutakhirnya ialah ketika tentera Soviet Union mendudukinya pada 1978 dan berakhir selama 10 tahun. Ketika ini, muncul gerakan Mujahidin yang berjaya menebus kembali watannya.

Malangnya Mujahidin berpecah sehingga muncul Taleban pada awal 1990-an yang dapat menyatukan negara itu. Namun Taleban dikutuk dunia kerana pemerintahan yang tegar dan membela Al-Qaeda. Menerusi bantuan Pakistan, Amerika telah dapat mengusir Taleban dan turut membangunkan pemerintahan Presiden Hamid Karzai.

Malangnya Afghanistan kini berpecah-belah dengan Taleban kian kembali bertaring dan turut menggalakkan penanaman candu (yang dulu diharamkannya).

Pada sidang di Hague itu, Cik Clinton menjelaskan keputusan Pentadbiran Obama mengerahkan 17,000 orang askar tambahan dan 4,000 orang jurulatih tentera untuk membangun satu pasukan tentera Afghan yang lebih kukuh.

Malah sidang itu juga dianggap sebagai satu peluang bagi Amerika dan sekutu-sekutunya dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk menekankan kepada negara-negara jiran seperti Pakistan, Iran dan Russia peri pentingnya kerjasama itu kepada rantau tersebut.

Amerika bermusuh dengan Iran sejak penggulingan Shah Iran ketika Revolusi Republik Islam Iran pada 1979. Para pemberontak, termasuk ketua pelajar Mahmoud Ahmadinejad (kini presiden Iran), telah menangkap sejumlah tebusan di Kedutaan Amerika.

Kini permusuhan dua negara dicetuskan pula oleh hasrat Iran membina kelengkapan tenaga nuklear yang didakwanya untuk tujuan menjana elektrik tetapi dituduh oleh Amerika dan sekutu utamanya di Timur Tengah, Israel, sebagai langkah menghasilkan senjata.

Walaupun Presiden Obama berjanji akan mengutamakan dasar dialog atau diplomasi daripada ketenteraan seperti pendahulunya, bukan mudah bagi dua itu negara berdialog.

Cik Clinton memberitahu para wartawan dalam sidang itu bahawa tiada sebarang rancangan untuk mengadakan perrtemuan empat mata dengan pemimpin Iran itu dalam sidang ini.

Pada masa yang sama para diplomat Barat masih bertanya-tanya berapa lamakah Washington akan meneruskan tekanan ekonominya ke atas Iran?

Sekatan ekonomi Amerika dan kekejaman Israel ke atas Palestin merupakan dua perkara yang dibantah keras oleh Iran, kata pemimpin agamanya, Ayatollah Ali Khamenei. Jika dialog ini diadakan, dua perkara ini terlebih dulu hendaklah diatasi. Mentelah banyak aset Iran, sejak zaman Shah Iran, masih dibekukan di Amerika.

Namun para pengamat yakin Iran bersikap pragmatik dalam membezakan masalahnya dengan Amerika dengan kepentingan Afghanistan. Ramai penduduk Afghan menjadi pendatang asing dan bekerja sebagai buruh murah di Iran. Mentelah 19 peratus warga Afghan merupakan penganut Syiah. Sebagai negara majoriti Syiah, Iran perlu melayani dengan baik penganut semazhab.

Oleh itu, bukan mudah untuk Amerika menangani agendanya dengan Iran yang merupakan pemain penting di Timur Tengah dan tentulah Afghanistan.

Selagi beban sejarah tidak diatasi, kedua-dua negara akan terus curiga-mencurigai.

http://cyberita.asia1.com.sg/komentar/story/0,3617,139240,00.html

'Osama, Al-Qaeda Tidak Bersalah Dalam Serangan 9/11'

Juri TV dakwa tiada bukti kait pemimpin al-Qaeda

AMSTERDAM: Pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden tidak bersalah dan bukan perancang serangan 11 September 2001 (9/11) di Amerika Syarikat, dakwa juri sebuah program realiti di sini, menurut laporan, kelmarin.

Juri terbabit, dua lelaki dan tiga wanita memberi keputusan bersama penonton dalam program akhir Devil's Advocate di stesen Nederland 2, Rabu lalu.

Mereka membuat kesimpulan, tiada bukti Osama perancang serangan Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon, lapan tahun lalu.

Belanda adalah negara yang mengasaskan program menyerupai Big Brother dan paling kreatif dari segi format televisyen.

Program Devil's Advocate menunjukkan peguam bela utama dipegang oleh Gerard Spong mewakili penjenayah paling kejam dunia.

Dalam program akhir itu, Spong berjaya meyakinkan juri bahawa propaganda Barat adalah faktor terbesar menyebabkan Osama dikaitkan dengan 11 September.

Juri juga memutuskan bukti tidak mencukupi untuk membuktikan Osama pemimpin sebenar al-Qaeda. Bagaimanapun, juri berkenaan memutuskan Osama 'adalah pengganas yang memutarbelitkan Islam.'

Program itu mengemukakan lebih banyak isu untuk dibincangkan di Belanda mengenai kemasukan imigran asing dan masyarakat minoriti Islam di negara itu.

Belanda mengalami peningkatan sentimen anti-imigran dan anti-Islam selepas pembunuhan pengarah filem, Theo Van Gogh.

Spong diberi perhatian utama dalam perdebatan mengenai imigran dan Islam apabila menyuarakan sokongan supaya tindakan dikenakn ke atas ahli politik anti imigran, Geert Wilders. - Agensi

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090411212619/Article/index_html


Iran, Pakistan dan Afghanistan Bersama Untuk Keamanan Afghanistan

Afghanistan, Iran dan Pakistan sedang mencari visi yang umum untuk keamanan serantau, kata satu kenyataan pada Jumaat setelah berlaku pertemuan tiga menteri dari negara masing-masing.

Keputusan telah dibuat setelah pertemuan di Islamabad antara Timbalan Menteri Luar Iran, Mohammad Mehdi Akhundzadeh, Timbalan Menteri Luar Afghanistan, Mohammad Kabir Farahi dan Setiausaha Luar Pakistan, Salman Bashir, di Islamabad, lapor Press TV.

Ketiga pihak sepakat untuk bekerja sama untuk memajukan perdamaian, keamanan, kestabilan dan kemajuan strategic serantau menerusi kerjasama yang lebih mendalam berdasarkan kepentingan dan sikap saling menghargai dan kesesuaian dengan cita-cita Perserikatan Bangsa-Bangsa.

Persetujuan itu menjadi dorongan yang kuat kepada ketiga-tiga pihak yang bekerjasama dalam politik, ekonomi, pembangunan, pembinaan semula, serta bidang sosial dan budaya.


Dalam kontek rantau berkenaan, ketiga-tiga negara tersebut menitikberatkan kekuatan mereka untuk memerangi terorisme dan tindakan ekstrimis, membatasi penyalahgunaan dadah dan jenayah tersusun, dan usaha meningkatkan kerjasama serantau.

Perjanjian erat berkenaan adalah rentetan keputusan yang diambil oleh para pemimpin dari ketiga-tiga negara dalam pertemuan mereka pada persidangan ECO di Teheran bulan lalu. Satu pertemuan peringkat menteri akan menetapkan tarikh untuk persidangan berikutnya yang akan diadakan di Teheran.

Kerjasama Jepun

Dilaporkan bahawa Iran dan Jepun berminat untuk memulihkan semula perdamaian dan kestabilan kepada kemusnahan akibat perang di Afghanistan, kata duta besar Iran ke Jepun pada hari Sabtu.

Abbas Araqchi berkata Iran dan Jepun bersedia untuk meningkatkan kerjasama di bidang anti-narkotik dan melaksanakan latihan teknik vokasional di Afghanistan, lapor IRNA.

Menyorot usaha lanjutan Iran dalam pembinaan semula di Afghanistan, dia mengatakan bahawa pemerintah di Tokyo bersedia membantu Iran dalam tugas-tugas besar.

Araqchi mengatakan bahawa Iran adalah rakan Jepun dan menegaskan harapan bahawa krisis sosial yang mendalam dan juga krisis yang lain yang berpunca dari penyeludupan dadah dari Afghanistan akan segera diatasi.

Sempadan timur Iran dengan Afghanistan dan Pakistan merupakan saluran terbesar penyeludupan dadah yang mana sejumlah besar dadah berkenaan disalurkan ke dunia luar. Pasukan keamanan Iran sering bertempur dengan para penyeludup dan pengusaha dadah di sempadan sangat sukar jika tidak dikawal.

Usaha mengekang penyeludup dadah telah menelan pembiayaan negara sekitar 600 juta dolar untuk selama dua tahun sahaja. Selama lebih dua dekad Iran telah kehilangan 3000 polis bantuan dan pegawai penguatkuasa undang-undang untuk kampen anti dadah.

http://www.iran-daily.com/1388/3371/html/national.htm#s371676